Nasab (keturunan) Imam
an-Nawawi
Beliau adalah al-Imam al-Hafizh, Syaikhul
Islam, Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syaraf
bin Mury bin Hasan bin Husain bin Muhammad bin Jum’ah bin Hizam an-Nawawi
ad-Dimasyqi asy-Syafi’i. Kata ‘an-Nawawi’ dinisbahkan kepada
sebuah perkampungan yang bernama ‘Nawa’, salah satu perkampungan di Hauran, Syiria, tempat
kelahiran beliau. Beliau dianggap sebagai syaikh di dalam madzhab Syafi’i dan
ahli fiqh terkenal pada zamannya.
Kelahiran dan
Lingkungannya
Beliau dilahirkan pada Bulan Muharram tahun 631 H di perkampungan ‘Nawa’ dari dua orang
tua yang shalih. Ketika berusia 10 tahun, beliau sudah memulai hafal al-Qur’an
dan membacakan kitab Fiqh pada sebahagian ulama di sana. Proses pembelajaran ini
di kalangan Ahli Hadits lebih dikenal dengan sebutan ‘al-Qira`ah’.
Suatu ketika, secara kebetulan seorang ulama bernama Syaikh Yasin bin Yusuf
al-Marakisyi melewati perkampungan tersebut dan menyaksikan banyak
anak-anak yang memaksa ‘an-Nawawi kecil’ untuk bermain, namun dia tidak mahu
bahkan lari dari kejaran mereka dan menangis sambil membaca al-Qur’an. Syaikh
ini kemudian menghantarkannya kepada ayahnya dan menasihati sang ayah agar
mengarahkan anaknya tersebut untuk menuntut ilmu. Sang ayah setuju dengan
nasihat ini.
Pada tahun 649 H, an-Nawawi, dengan dihantar oleh sang ayah,
tiba di Damaskus dalam rangka melanjutkan studinya di Madrasah Dar al-Hadits. Dia tinggal di al-Madrasah
ar-Rawahiyyah yang menempel pada dinding masjid al-Umawy dari sebelah timur.
Pada tahun 651 H, dia menunaikan ibadah haji bersama ayahnya, lalu pulang
kembali ke Damaskus.
Pengalaman
Intelektualnya
Pada tahun 665 H saat baru berusia 34
tahun, beliau sudah menduduki posisi ‘Syaikh’ di Dar al-Hadits dan mengajar di
sana. Tugas ini tetap dijalaninya hingga beliau wafat.
Dari sisi pengalaman intelektualnya setelah bermukim di
Damaskus terdapat tiga karakteristik yang sangat menonjol:
Pertama, Kegigihan dan Keseriusan-nya di dalam
Menuntut Ilmu Sejak Kecil hingga meningkat Remaja.
Ilmu adalah segala-galanya bagi an-Nawawi sehingga dia
merasakan kenikmatan yang tiada tara di dalamnya. Beliau amat serius ketika
membaca dan menghafal. Beliau berhasil menghafal kitab ‘Tanbih al-Ghafilin’
dalam waktu empat bulan setengah.
Sedangkan waktu yang tersisa lainnya dapat beliau gunakan untuk
menghafal seperempat permasalahan ibadat dalam kitab ‘al-Muhadz-dzab’ karya
asy-Syairazi. Dalam tempoh yang relatif singkat itu pula, beliau telah berhasil
membuat decak kagum sekaligus meraih kecintaan gurunya, Abu Ibrahim Ishaq bin
Ahmad al-Maghriby, sehingga menjadikannya sebagai wakilnya di dalam halaqah
pengajian yang dia pimpin bilamana berhalangan.
Kedua, Keluasan
Ilmu dan Wawasannya
Mengenai bagaimana beliau memanfa’atkan waktu, seorang
muridnya, ‘Ala`uddin bin al-‘Aththar bercerita, “Pertama beliau dapat membacakan
12 pelajaran setiap harinya kepada para Syaikhnya beserta syarah dan
tash-hihnya; kedua, pelajaran terhadap kitab ‘al-Wasith’, ketiga terhadap kitab
‘al-Muhadzdzab’, keempat terhadap kitab ‘al-Jam’u bayna ash-Shahihain’, kelima
terhadap kitab ‘Shahih Muslim’, keenam terhadap kitab ‘al-Luma’ ‘ karya Ibnu
Jinny di dalam ilmu Nahwu, ketujuh terhadap kitab ‘Ishlah al-Manthiq’ karya Ibnu
as-Sukait di dalam ilmu Linguistik (Bahasa), kelapan di dalam ilmu Sharaf,
kesembilan di dalam ilmu Ushul Fiqh, kesepuluh terkadang terhadap kitab
‘al-Luma’ ‘ karya Abu Ishaq dan terkadang terhadap kitab ‘al-Muntakhab’ karya
al-Fakhrur Razy, kesebelas di dalam ‘Asma’ ar-Rijal’, keduabelas di dalam
Ushuluddin. Beliau selalu menulis syarah yang sulit dari setiap pelajaran
tersebut dan menjelaskan kalimatnya serta meluruskan ejaannya”.
Ketiga, Produktif di dalam Menelurkan Karya
Tulis
Beliau telah berminat terhadap dunia tulis-menulis dan
menekuninya pada tahun 660 H saat baru berusia 30-an.
Dalam karya-karya beliau tersebut akan didapati kemudahan di
dalam mencernanya, keunggulan di dalam argumentasinya, kejelasan di dalam
kerangka berfikirnya serta keobjektifan-nya di dalam memaparkan
pendapat-pendapat Fuqaha‘.
Buah karyanya tersebut hingga saat ini selalu menjadi bahan
perhatian dan diskusi setiap Muslim serta selalu digunakan sebagai rujukan di
hampir seluruh belantara Dunia Islam.
Di antara karya-karya tulisnya tersebut adalah ‘Syarh Shahih
Muslim’, ‘al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab’, ‘Riyadh ash-Shalihin’, ‘ al-Adzkar’,
‘Tahdzib al-Asma’ wa al-Lughat’ ‘al-Arba’in an-Nawawiyyah’, ‘Rawdhah
ath-Thalibin’ dan ‘al-Minhaj fi al-Fiqh’.
Budi Pekerti dan
Sifatnya
Para pengarang buku-buku ‘biografi’ (Kutub
at-Tarajim) sepakat, bahawa Imam an-Nawawi merupakan hujung tombak di dalam
sikap hidup ‘zuhud’, teladan di dalam sifat wara’ serta tokoh tanpa tanding di
dalam ‘menasihati para penguasa dan beramar ma’ruf nahi munkar’.
-
ZuhudBeliau hidup bersahaja dan mengekang
diri sekuat tenaga dari kongkongan hawa nafsu. Beliau mengurangi makan,
sederhana di dalam berpakaian dan bahkan tidak sempat untuk menikah. Kenikmatan
di dalam menuntut ilmu seakan membuat dirinya lupa dengan semua kenikmatan itu.
Beliau seakan sudah mendapatkan gantinya.
Di antara indikatornya adalah ketika beliau pindah dari
lingkungannya yang terbiasa dengan pola hidup ‘seadanya’ menuju kota Damaskus
yang ‘serba ada’ dan penuh glamour. Perpindahan dari dua dunia yang amat kontras
tersebut sama sekali tidak menjadikan dirinya tergoda dengan semua itu, bahkan
sebaliknya semakin menghindarinya.
-
Wara’Bila membaca riwayat hidupnya, maka
akan banyak sekali dijumpai sifat seperti ini dari diri beliau. Sebagai contoh,
misalnya, beliau mengambil sikap tidak mahu memakan buah-buahan Damaskus kerana
merasa ada syubhat tentang kepemilikan tanah dan kebun-kebunnya di sana.
Contoh lainnya, ketika mengajar di Dar al-Hadits, beliau
sebenarnya menerima gaji yang cukup besar, tetapi tidak sedikit pun diambilnya.
Beliau justeru mengumpulkannya dan menitipkannya pada kepala Madrasah. Setiap
mendapatkan jatah tahunannya, beliau membeli sebidang tanah, kemudian
mewakafkannya kepada Dar al-Hadits. Atau membeli beberapa buah buku kemudian
mewakafkannya ke perpustakaan Madrasah. Beliau tidak pernah mahu menerima hadiah
atau pemberian, kecuali bila memang sangat memerlukannya sekali dan ini pun
dengan syarat. Iaitu, orang yang membawanya haruslah diri yang sudah beliau
percayai diennya.
Beliau juga tidak mahu menerima sesuatu, kecuali dari kedua
orang-tuanya atau kerabatnya. Ibunya selalu mengirimkan baju atau pakaian
kepadanya. Demikian pula, ayahnya selalu mengirimkan makanan untuknya.
Ketika berada di al-Madrasah ar-Rawahiyyah, Damaskus, beliau
hanya mahu tidur di kamar yang disediakan untuknya saja di sana dan tidak mahu
diistimewakan atau diberikan fasiliti yang lebih dari itu.
-
Menasihati Penguasa dalam Rangka Amar Ma’ruf Nahi
MunkarPada masanya, banyak orang datang mengadu kepadanya dan
meminta fatwa. Beliau pun dengan senang hati menyambut mereka dan berupaya
seoptimal mungkin mencarikan solusi bagi permasalahan mereka, sebagaimana yang
pernah terjadi dalam kes penyegelan terhadap kebun-kebun di Syam.
Kisahnya, suatu ketika seorang sultan dan raja, bernama
azh-Zhahir Bybres datang ke Damaskus. Beliau datang dari Mesir setelah memerangi
tentara Tartar dan berhasil mengusir mereka. Saat itu, seorang wakil Baitul Mal
mengadu kepadanya bahawa kebanyakan kebun-kebun di Syam masih milik negara.
Pengaduan ini membuat sang raja langsung memerintahkan agar kebun-kebun tersebut
dipagari dan disegel. Hanya orang yang mengakui kepemilikannya di situ saja yang
diperkenankan untuk menuntut haknya asalkan menunjukkan bukti, iaitu berupa
sijil kepemilikan.
Akhirnya, para penduduk banyak yang mengadu kepada Imam
an-Nawawi di Dar al-Hadits. Beliau pun menanggapinya dengan langsung menulis
surat kepada sang raja. Sang Sultan gusar dengan keberaniannya ini yang dianggap
sebagai sebuah kelancangan. Oleh kerana itu, dengan serta merta dia
memerintahkan bawahannya agar memotong gaji ulama ini dan memberhentikannya dari
kedudukannya. Para bawahannya tidak dapat menyembunyikan kehairanan mereka
dengan menyeletuk, “Sesungguhnya, ulama ini tidak memiliki gaji dan tidak pula
kedudukan, paduka !!”.
Menyedari bahawa hanya dengan surat saja tidak mampan, maka
Imam an-Nawawi langsung pergi sendiri menemui sang Sultan dan menasihatinya
dengan ucapan yang keras dan pedas. Rupanya, sang Sultan ingin bertindak kasar
terhadap diri beliau, namun Allah telah memalingkan hatinya dari hal itu,
sehingga selamatlah Syaikh yang ikhlas ini. Akhirnya, sang Sultan membatalkan
masalah penyegelan terhadap kebun-kebun tersebut, sehingga orang-orang terlepas
dari bencananya dan merasa tenteram kembali.
Wafatnya
Pada tahun 676 H, Imam
an-Nawawi kembali ke kampung halamannya, Nawa, setelah mengembalikan buku-buku
yang dipinjamnya dari badan urusan Waqaf di Damaskus. Di sana beliau sempat
berziarah ke kuburan para syaikhnya. Beliau tidak lupa mendo’akan mereka atas
jasa-jasa mereka sambil menangis. Setelah menziarahi kuburan ayahnya, beliau
mengunjungi Baitul Maqdis dan kota al-Khalil, lalu pulang lagi ke ‘Nawa’.
Sepulangnya dari sanalah beliau jatuh sakit dan tak berapa lama dari itu, beliau
dipanggil menghadap al-Khaliq pada tanggal 24
Rajab pada tahun itu. Di antara ulama yang ikut menyalatkannya adalah
al-Qadhy, ‘Izzuddin Muhammad bin ash-Sha`igh dan beberapa orang shahabatnya.
Semoga Allah merahmati beliau dengan rahmat-Nya yang luas dan menerima seluruh
amal shalihnya. Amin.
(Diambil dari
pengantar kitab Nuzhah al-Muttaqin Syarh Riyadh ash-Shalihin karya DR. Musthafa
Sa’id al-Khin, et.ali, Jld. I, tentang biografi Imam an-Nawawiy)
|